
Alang-alang dah berkunjung di Mas Villa @ Ijok, jom terokai keunikan dan keindahan bumi Kuala Selangor. Selain menikmati percutian yang menenangkan di Mas Villa @ Ijok, terdapat beberapa kawasan tumpuan perlancongan yang boleh di lawati.
Artikel dan info ini diambil dari Lawan Web Rasmi Majlis Perbandaran Kuala Selangor , MaiSinggah, dan beberapa sumber yang lain.

Hussin Fauzi Farm
Taman haiwan Hussin Fauzi Farm ini terletak di Kampung Bukit Belimbing. Berkonsep sebagai sebuah mini letting zoo, anda boleh berkunjung ke sini bersama keluarga untuk melihat, bermain dan berinteraksi bersama haiwan-haiwan seperti kambing, rusa, arnab dan banyak lagi.
Terdapat juga haiwan-haiwan reptilia yang anda boleh saksikan. Burung-burung liar seperti burung unta dan burung merak juga ada.
Selain dari beriadah dan berinteraksi bersama haiwan-haiwan, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti di sini seperti menunggang kuda, memanah, memberi makan kepada haiwan (pet feeding) dan juga menangguk ikan.
Pastinya ini adalah tempat yang sangat menarik untuk dibawa kanak-kanak terutama ketika musim cuti sekolah.
Alamat: Jalan Batu 45 Teluk Penyamun, Kampung Bukit Belimbing, 45000 Kuala Selangor, Selangor
Waktu Operasi: 10am-6pm (setiap hari)
Harga Tiket: RM7

Sasaran Art Park
Sasaran Art Park merupakan sebuah kawasan dan galeri seni yang terletak di Jeram, Kuala Selangor.
Di Bawah naungan Sasaran Art Association, Sasaran Art Park ini menjadi tempat di mana para seniman Selangor berkumpul, bergaul dan mempamerkan hasil kerja mereka. Malah, mereka menganjurkan festival seni setiap 3 tahun.
Di sini, anda akan menyaksikan pelbagai hasil seni dari pelbagai medium. Mural, lukisan, arca dan skulptur memang banyak di sini.
Malah, bangunan utama dan persekitaran taman seni ini juga penuh dengan warna-warni mural dan hasil seni dari artis-artis dan seniman berlainan. Bagi anda yang sukakan kesenian dan budaya, pastikan anda datang berkunjung ke Sasaran Art Park ini!
Alamat: Jalan Sasaran, Sungai Buloh, 45800 Jeram, Selangor
Waktu Operasi: 6am-12am (setiap hari)

Kelip Kelip Kg Kuantan
Ingin merasa hidup di dalam dunia magikal dikelilingi oleh bintang berkerdipan? Anda sekeluarga dapat menikmatinya dengan menaiki bot menyusuri Sungai Selangor.
Pengalaman melihat Kelip-Kelip Kg. Kuantan ini sungguh mengujakan tapi tidak bermakna anda boleh bergambar kerana takut nanti menyorok pula si kelip-kelip disebabkan cahaya ‘seram’ flash anda.
Nak tahu satu perkara yang menarik tentang kelip-kelip? Sebenarnya, cahaya yang dilihat pada badan kelip-kelip ini terhasil daripada cecair nektar pokok Berembang yang merupakan tempat pembiakan serangga yang mengujakan ini.
Namun sedihnya, kelip-kelip dikatakan makin diancam oleh kepupusan, oleh sebab itu, masyarakat tempatan tidak memasang lampu di kawasan sekitar pembiakannya.
Alamat: Kampung Kuantan, 45000 Batang Berjuntai
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.45pm – 10.30pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM4 | Kanak-kanak & Warga Emas RM2

Sky Mirror
Inginkan sebuah pengalaman yang keunikannya boleh dimasukkan dalam rancangan ‘Ripley’s Believe It or Not!?’ Rancanglah bersama keluarga atau rakan sekepala anda untuk ke Sky Mirror Malaysia.
Sky Mirror yang turut digelar sebagai Salar De Uyuni Malaysia ini merupakan lokasi untuk anda berfotografi sepuas hati yang paling best. Pasti anda tertanya-tanya apa sebenarnya Sky Mirror ini?
Ia sebenarnya sebuah fenomena unik yang hanya berlaku pada waktu air surut dan ketika air tenang dari pukulan ombak, di mana pada waktu ini anda boleh berjalan di ‘atas’ air yang menghasilkan refleksi seolah-olah cermin.
Namun begitu, fenomena ini hanya berlaku 6 hari pada setiap bulan berdasarkan kalendar lunar Cina iaitu pada hari pertama, ke-2, ke-14, ke-15, ke-16 dan juga ke-30.
Dan ia juga kebiasaannya berlaku hanyalah sekejap dalam sekitar pukul 10.30 ke 11.00 pagi ketika mana air laut surut. Untuk menuju ke sini, anda perlu menaiki bot dari Jeti Sasaran yang hanya mengambil masa dalam 30 minit.
Alamat: Pantai Sasaran
Waktu Operasi: 6 Hari Pada Setiap Bulan Dalam Kalendar Cina (pada hari ke-1, 2, 14, 15, 16 dan 30)
Bayaran Sky Mirror Malaysia Tour: Dewasa RM150 | Kanak-kanak RM130

Selangor Fruits Valley
Selangor Fruits Valley atau SFV adalah sebuah ladang buah-buahan tropika. Jadinya kat sini anda bakal dikelilingi dengan tanaman buah-buahan yang segar seperti buah belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan, betik dan sebagainya. Ladang ini diwujudkan bagi menyahut hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk memodenkan sektor pertanian selaras dengan visi dan misi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.
Alamat: KM7, Jalan Bestari jaya – Rawang, 45600 Batang Berjuntai, Selangor
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (Kecuali Jumaat) 8:30 pagi – 4:00 petang
Bayaran Masuk : RM25 Dewasa

Taman Alam Kuala Selangor
Taman Alam Kuala Selangor adalah sebuah tarikan alam semula jadi paya bakau yang cukup menyeronokkan untuk diteroka.
Taman ini menyediakan laluan berkepanjangan 3.6 km untuk anda selusuri sambil menikmati oksigen yang segar.
Bagi peminat aktiviti memerhatikan burung, taman ini turut menyediakan menara tinjau untuk memudahkan anda melakukan aktiviti ini sepuas hati di samping melihat keindahan kawasan paya nipah yang berbentuk seperti hati ini.
Antara spesies burung yang boleh dilihat di sini adalah burung pekaka, ketitir, serandau, helang bahu hitam, burung bakau, dan banyak lagi.
Jenis-jenis burung yang berhijrah ke sini dari luar pada setiap tahun pula adalah warbler, arctic shrike, reat eagle, purple heron dan macam-macam lagi.
Dikatakan 50 daripada 150 spesies burung yang terdapat di sini datang daripada kawasan seperti Rusia dan Siberia.
Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah mengutip siput, melihat monyet, kera dan lotong serta memerhatikan burung-burung yang diancam kepupusan di dalam sangkar besi bersaiz gergasi yang terdapat di sini.
Alamat: Taman Alam Kuala Selangor, Jalan Klinik, Kuala Selangor, 45000

Eagle Feeding @ Pasir Penambang
Apa lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan sambil menaiki bot di Kuala Selangor ya? Jawapannya adalah aktiviti ’Eagle Feeding’ di Pasir Penambang.
Di sini anda boleh membeli tiket yang dijual di jeti untuk menaiki bot menuju ke kawasan yang menjadi tempat burung helang berterbangan dengan riang di tengah sungai.
Anda dapat melihat burung-burung ini menyentap makan yang terdapat di dalam sungai. Yang pastinya, pengalaman ini sukar untuk dilupakan, bila lagi nak tengok burung helang secara dekatkan?
Jangan lupa untuk membawa kamera dan merakam aksi yang rare untuk ditemui di tempat lain ni. Mana tahu, kalau terlampau cun gambar yang diambil bolehlah diletakkan di dalam frame sebagai peringatan yang anda sebenarnya ada bakat fotografi.
Alamat: No 1. Jalan Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang, 45000 Kuala Selangor.
Waktu Operasi: 4.00pm – 6.30pm
Bayaran Masuk: Dewasa RM25 | Kanak-kanak RM15

Bukit Melawati
Bukit Malawati merupakan sebuah bukit berkubu yang terletak di Kuala Selangor, Selangor, Malaysia. Bukit Malawati adalah di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan merupakan tarikan pelancong tempatan yang popular. Kedudukan bukit berkubu ini mempunyai kepentingan strategik bersejarah kerana ia terletak di muara Sungai Selangor yang mengalir ke Selat Melaka, dengan sudut pandang yang menghadap laut Selat Melaka dan Sumatra, Indonesia. Beberapa peninggalan bersejarah di Bukit Malawati adalah termasuk sebuah rumah api lama serta tinggalan Kota Malawati. Bukit Malawati juga telah dijadikan tempat bersemayam untuk tiga Sultan Selangor yang terawal. Bukit Malawati juga pernah dijadikan tempat bersemayam Sultan Abdul Samad sebelum baginda dipindahkan ke Bukit Jugra di Kuala Langat.
Alamat:Pekan Lama Kuala Selangor
Waktu Operasi: Sabtu, Ahad dan cuti umum (9:00pagi – 6:00 petang)
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-kanak RM5